You are currently viewing PERJALANAN SEORANG PESAKIT MS: an Essay by MS Warrior – Liew Pui Ling

PERJALANAN SEORANG PESAKIT MS: an Essay by MS Warrior – Liew Pui Ling

Nama saya Lew Pui Ling. Saya berumur 34 tahun. Saya disahkan menghidap penyakit saraf kronik (Multiple Sclerosis) pada tahun 2014. Pada waktu itu, saya baru berumur 26 tahun.

Saya mempunyai beberapa simptom MS sejak tahun 2008. Pada masa itu, saya tidak sedar yang saya mempunyai penyakit saraf kronik. Kaki saya tiba-tiba lemah dan kebas. Tapak kaki saya kebas sehingga saya tidak sedar walaupun kasut saya tertanggal semasa saya naik bas. Pada ketika itu, saya baru sahaja mendaftar masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sastera, pengkhususan dalam Bahasa Inggeris.

Saya berasa sangat tertekan kerana saya berjauhan dengan keluarga pada pertama kalinya. Selain itu, saya juga berasa sangat tertekan dengan segala aktiviti yang dijalankan kepada kami sebagai ‘orang baru’ di sana. Saya tidak dapat rehat dan tidur yang cukup. Hal ini demikian menyebabkan badan saya tiba-tiba menjadi lemah dan kebas tanpa disedari.

Pada waktu itu, saya disarankan oleh kawan-kawan untuk berjumpa dengan doktor. Setelah itu, saya pergi berjumpa dengan doktor di UKM untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan. Doktor hanya menyatakan kemungkinan saya tidak mempunyai kalsium yang mencukupi. Saya terima pandangan doktor pada waktu itu. Namun, segala ubat yang doktor bekalkan itu langsung tidak membantu atau memberikan kesan kepada saya. Lama-kelamaan saya hentikan segala ubat-ubatan yang doktor bekalkan kepada saya pada waktu itu.

Setelah segala aktiviti untuk kami sebagai ‘orang baru’ telah habis dan kelas pun telah bermula, segala simptom saya seperti kebas dan lemah telah hilang begitu sahaja. Saya meneruskan kehidupan saya seperti orang biasa. Cuma saya dapati saya ni agak cuai. Saya sering jatuh dan terkehel sejak saya masih budak-budak lagi. Saya tidak tahu langsung apakah punca yang menyebabkan saya menjadi sebegitu. Saya pernah jatuh terkehel berkali-kali semasa saya belajar di UKM namun ia kembali pulih setelah berehat dan mendapat rawatan.

Segala simptom MS hilang begitu sahaja sehingga saya mula bekerja selepas saya bergraduasi dari UKM. Saya memulakan kerjaya saya sebagai seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih(GSTT) di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung (Pulau Pangkor). Saya mengalami simptom pening kepala yang teruk sehingga saya hilang keseimbangan badan. Saya tidak mampu untuk berjalan jauh. Saya perlu pegang atau papah sesuatu untuk berjalan untuk mengelakkan diri saya daripada terjatuh.

Saya pergi mendapatkan rawatan di Hospital Manjung dan diarahkan untuk membuat CT scan. Namun, saya tidak dapat membuat pemeriksaan CT scan setelah disahkan mengandung. Segala simptom yang saya alami itu disebabkan oleh tekanan daripada rakan sekerja. Rakan sekerja yang lain tidak senang dengan kehadiran saya di sana. Saya berasa sangat tertekan pada masa itu sehingga membuatkan saya rasa nak tamatkan hidup saya pada waktu itu.

Sewaktu saya mengandung, saya tidak mempunyai sebarang simptom malah saya rasakan diri saya sangat kuat dan sihat. Saya boleh dan mampu untuk buat segalanya tanpa bantuan sesiapa pun. Segalanya berubah setelah saya melahirkan anak saya. Saya mula berasa makin lemah dari hari ke hari. Hampir setiap hari saya menghabiskan waktu saya dengan tidur sahaja. Malah, saya tidak menghiraukan anak saya yang sedang menangis. Saya berasa sangat penat dan melampau pada waktu itu. Keluarga saya hanya cakap saya ni pemalas dan hanya tahu tidur sahaja pada waktu itu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya pada waktu itu.

Saya meneruskan pekerjaan saya setelah saya habis sebulan berpantang kerana saya tidak dapat sebarang gaji jika saya tidak bekerja. Keadaan saya makin teruk selepas saya mula bekerja. Penglihatan saya makin teruk dan kabur serta anggota badan saya pun makin kebas dan lemah dari hari ke hari. Segala pergerakan saya telah menjadi terhad dan tungganglanggang. Akhirnya, rakan sekerja menghantar saya ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan. Saya diarahkan oleh doktor di sana untuk membuat pemeriksaan mata.

Selepas itu, saya pergi berjumpa dengan doktor pakar mata di Greentown, Ipoh. Doktor di sana mengarahkan saya untuk segera ke Hospital Ipoh kerana saya mungkin menghidap penyakit kronik dan membahayakan. Maka, saya terus ke wad Ophthalmology di Hospital Ipoh. Di sana, saya membuat pelbagai ujian untuk mengesan penyakit saya. Akhirnya saya diarahkan untuk membuat pemeriksaan MRI. Melalui pemeriksaan MRI itu, saya disahkan menghidap penyakit saraf kronik “Multiple Sclerosis”.

Segalanya berubah selepas saya disahkan menghidap penyakit Multiple Sclerosis (MS). Saya bukanlah diri saya yang dahulu. Saya cepat dan mudah penat walaupun saya hanya membuat kerja-kerja ringan. Saya juga mudah naik angin dan marah-marah serta sensitif walaupun ia hanyalah perkara kecil. Suami dan sayalah yang menjadi mangsa keadaan bila saya mengamuk kerana angin saya tidak menentu. Keadaan penyakit saya masih tidak stabil dan masih ada serangan walaupun dah tiga kali tukar ubat. Saya daripada tidak berkerusi roda sehinggalah bertongkat dan berkerusi roda.

Syukur Alhamdulillah saya bertambah baik setelah mendapat rawatan akupuntur. Saya mendapatkan rawatan akupunktur sejak tahun 2014 sehingga hari ini. Rawatan akupunktur menguatkan segala saraf saya. Namun, saya tidak akan berputus asa dengan begitu mudah. Saya akan terus berjuang demi keluarga saya, berdoa dan cuba segala rawatan yang boleh membantu dalam penyakit saraf kronik. Setiap kali saya diserang penyakit, saya akan menjadi makin lemah dan segalanya terjejas.

Pada tahun 2021, saya diserang penyakit kembali, saya dimasukkan ke hospital pada bulan Mac dan November. Serangan kedua pada bulan November menyebabkan saya kelihatan seperti diserang strok. Boleh dikatakan bahagian belah kanan saya diserang strok dan hampir tidak dapat bergerak langsung. Saya diarahkan untuk masuk wad dan dapatkan rawatan secepat mungkin. Suami saya lah yang menjaga saya sepanjang masa saya berada di dalam hospital. Selepas saya keluar daripada hospital, saya terus buat rawatan akupunktur dan kesaannya adalah daripada saya berkerusi roda, saya dah boleh berjalan dengan jauh lebih baik.

Saya sangat bersyukur kerana suami saya banyak membantu dan jaga saya sepanjang saya disahkan menghidap penyakit MS. Walaupun saya serba kekurangan (lemah, pelupa, dan panas baran), namun suami saya masih memberikan saya semangat, sokongan dan dorongan untuk meneruskan hidup ini. Saya sentiasa berdoa dan berharap agar kami, pejuang MS akan sembuh suatu hari nanti dengan izin Tuhan.

Leave a Reply